Pemakanan

Kebanyakan penyakit itu datangnya dari perut. Oleh itu jagalah pemakanan kita agar terhindar dari penyakit akibat pemakanan yang tidak terkawal.
Inilah perkara utama dalam menjaga kesihatan sebenarnya.

Perkara terbaik yang dapat kita lakukan ialah dengan mengikut sunnah Nabi tentang adab pemakanan iaitu : Makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Jika sunnah yang mudah ini dapat diikuti sebaiknya, InsyaAllah, kita terhindar dari segala penyakit. Ini terbukti di zaman Rasulullah, di mana penduduk di sebuah negeri yang sentiasa sihat dan jarang berpenyakit dan apabila ditanya,
mereka hanya mengamalkan sunnah Nabi tersebut.

Makan dan minum juga merupakan ibadah, jika kita melakukannya bukan kerana nafsu tetapi sebagai satu langkah persiapan untuk diri bagi memudahkan kita untuk melaksanakan ibadah - ibadah lain seperti solat, bekerja dan sebagainya.

Selain menjaga niat ketika mengisi perut, adab yang perlu dipatuhi ialah memulakannya dengan nama Allah. Rasulullah S.A.W bersabda : " Apabila kamu makan, maka sebutlah nama Allah. Apabila lupa menyebut nama Allah pada awalnya, maka ucaplah : Bismillah awwalahu wa akhirahu."(Riwayat Abu Daud & Tarmizi)

Begitu juga apabila sudah makan, ucaplah Alhamdulillah kerana Rasulullah juga bersabda yang bermaksud : " Sesiapa yang makan,kemudian menyebut
Alhamdulillahillazi at'amani haza warazaqanihi min ghairi haulin wala quwwatin (segala puji bagi Allah yang telah memberi makanan ini dan memberi rezeki pada saya dengan tiada daya dan kekuatan daripadaku), maka diampuni dosanya yang
telah lalu.
" (Muttafaq Alaih)