ESQ - Suara Hati (Part 2)
SALAM dan Bertemu kembali sahabatku sekalian………………
Kali ini, saya nak berbicara sedikit tentang bagaimana kita nak melatih “suara hati” (latihan Kecerdasan Spiritual-SQ) kita supaya lebih terarah kepada kehendak ALLAH.
”Sesungguhnya, Kami(ALLAH) telah ciptakan manusia dan Kami ketahui apa yang dibisikkan hatinya kepadanya. Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” Qaaf 50:16
Mohon maaf dipinta sekiranya perkara ini menyinggung perasaan saudara sekalian, tetapi ketahuilah bahawa ini merupakan fitrah yang telah dijadikan oleh ALLAH dan perlu dilatih supaya ianya mendatangkan manfaat kepada diri kita.
Mulalah dengan perkara biasa yang kecil seperti berikut:
- Mungkin selama ini, setiap selesai mandi, anda gantungkan /campakkan tuala merata tempat. Suara hati anda akan berbisik “Letaklah dengan sempurna”. Ikutilah, itu adalah suara hati yang telah ditiupkan dalam diri kita oleh AL-BAARI’ (Maha Penata/Teratur)
- Ketika menerima resit tol, mungkin anda membuangnya sesuka hati. Tetapi ada Suara hati berbicara, “Jagalah Kebersihan”. Ikutilah, itu adalah Suara hati yang telah ditiupkan oleh AL-HAFIIDZ (Maha Menjaga)
- Mungkin selama ini anda pernah berbohong. Suara hati akan berbisik “Jujurlah”.
Ikutilah ia, itu adalah Suara hati yang telah dituipkan oleh AL-HAQQ (Maha Benar) - Mungkin anda pernah menghulurkan sedikit bantuan kepada orang fakir miskin/yang memerlukan kemudian anda rasa berbangga dan riya, tiba-tiba ada bisikan menyatakan “Jangan Mencari Pujian”. Ikutilah itu, ianya Suara hati yang telah ditiupkan oleh AL-RAQIIB (Maha Pembaca Rahsia)
- Mungkin juga anda baru sahaja membeli kereta baru. Ada Suara hati berbisik “Jangan Sombong” ingatlah, itu adalah Suara hati yang telah ditiupkan oleh AL-GHANIY (MAHA KAYA)
- Anda kekadang berputus asa, tiba-tiba ada Suara hati berbicara memberi semangat “teruslah Berusaha”. Itu adalah Suara hati yang telah dikurniakan oleh AL-MATIIN ( Maha Menggenggam Kekuatan)
- Anda melihat seorang kanak-kanak kelaparan sedang anda mempunyai sepotong kuih. Ada Suara hati berbisik “bantulah” ikutilah, ia adalah Suara hati yang telah ditiupkan oleh AR-RAHMAN (Maha Pengasih)
- Anda sedang malas dan tidak berdisiplin. Kemudian ada Suara hati berbisik “disiplinlah” ikutilah ia, kerana itulah Suara hati yang telah dikurniakan oleh AL-WAKIIL (Maha Pemegang Amanat)
- Anda mempunyai cita-cita yang kecil dan biasa sahaja, kemudian Suara hati berbisik “berfikirlah dan bercita-citalah tinggi”. Itu adalah Suara hati yang telah ditiupkan oleh AR-RASYID (Maha Pemberi Petunjuk)
- Anda baru sahaja mendapat rezeki, tiba-tiba Suara hati berbisik “ingatlah kepada orang lain”. Ikutilah juga, ia adalah Suara hati yang telah ditiupkan oleh AR-RAZZAQ (Maha Pemberi Rezeki) dan AL-WAHHAB (Maha Penganugerah).
Teruslah berlatih, sehingga mata hati kita menjadi terbuka dan akhirnya mampu mendengar Suara hati (SQ) yang telah ditiupkan oleh ALLAH ke dalam diri kita dengan lebih jelas. Biarlah ianya menjadi sahabat kita dalam memberi informasi dan petunjuk yang benar. Namun, Suara hati ini perlu dijaga dengan emosi kita yang stabil (EQ) juga digabungkan dengan logik yang dilahirkan oleh pemikiran (IQ) agar menghasilkan sesuatu yang terbaik dalam kehidupan kita.
Sekian sahaja untuk kali ini, bertemu kembali…………..
Rinatho Bin Nunchi
Pegawai Psikologi
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia